Home > MAKLUMAN AM > KITA SEDANG MENCIPTA SEJARAH SEKOLAH

KITA SEDANG MENCIPTA SEJARAH SEKOLAH

May 3, 2010

Menghargai kerjasama mereka berenam, maka cikgu abadikan gambar keenam-enam ahli Kelab Bola Sepak SMK Putatan yang membantu kami menubuhkan enam pasukan – Achievers FC, Daredevil FC, Dormkids FC, Galaxy FC, Wolves FC dan Wonder Boys FC.

Tidak ramai mengetahui betapa sukarnya mereka mencari pemain-pemain bola sepak yang ingin bergabung dan bermain dalam liga sekolah buat pertama kali ini. Cikgu maklum ada sesetengahnya dengan mudah mendapat ramai pemain, tetapi ada juga pasukan yang sukar dibentuk sehingga hampir dibatalkan penubuhannya.

Apa-apapun, cikgu secara peribadi, dan sebagai Pengurus Penganjuran Liga Bola Sepak SMK Putatan Piala Pengetua tetap akan mengenang jasa anda berenam selama-lamanya. Cikgu tahu, tanpa kesanggupan anda semua tanpa segan-silu mencanangkan idea kejohanan liga (pada masa itu belum tentu jadipun) dan berjaya meyakinkan pelajar-pelajar lain, kejohanan Liga Piala Pengetua SMK Putatan ini mustahil dapat direalisasikan.

Sekalung tahniah di atas kejayaan anda semua sehingga ke hari ini. Mudah-mudahan, kita semua berjaya menghabiskan semua perlawanan dan meraihkan juara PERTAMA liga kebanggaan kita ini.

Kepada rakan-rakan guru, terima kasih kerana sudi menyokong secara moral. Ada juga yang sudi menyumbang derma kepada liga kita ini dalam perlawanan pusingan pertama. Percayalah, ada banyak perkara positif yang akan datang dalam aktiviti bola sepak ini. Pengetua percaya mengenainya, maka saya berharap rakan-rakan juga mempercayai aktiviti kami ini, walaupun ia mengambil masa lebih dari 1 minggu dan melibatkan pelajar kelas peperiksaan. Saya percaya kita semua, guru-guru, sedang dan akan terus mencuba memberi ruang dan peluang yang terbaik demi kejayaan anak-anak didik kita dalam akademik dan juga sukan. Dalam hal bola sepak, MUNGKIN, ini sahajalah satu-satunya peluang yang lebih luas yang dapat diberikan kepada pelajar kita selama mereka berada di sekolah ini.

Kepada penaja piala, Puan Hjh. A’zah Hj. Ismail, pengetua yang kita hormati dan sayangi, kami semua warga liga sekolah mengucapkan JUTAAN TERIMA KASIH di atas sokongan moral dan tajaan piala. Kepercayaan puan kepada kelab menganjurkan kejohanan terpanjang (setakat ini) amat kami hargai dan sanjung tinggi. Kami, guru penasihat dan ahli-ahli KBSSMKP, akan berusaha memastikan kejayaan kejohanan ini dari awal ke akhir musim dalam keadaan yang secemerlang mungkin.

Bercakap tentang kelab, tidak lupa juga cikgu mengucapkan kepada ahli-ahli KBSSMKP yang lain, termasuk Cikgu Yahya Abas, yang turut sama bekerjasama merealisasikan aktiviti besar kelab kita. Walaupun masih terlalu awal mengucapkan terima kasih, tetapi tidak juga terlambat rasanya untuk cikgu sebutkan beberapa nama tenaga kerja yang sering mendampingi cikgu secara sukarela. Jimmy, Naim dan Taib adalah Koordinator Perlawanan dan 4th official (membantu cikgu) adalah antara ahli KBSSMKP yang setia dan bagi cikgu adalah ‘the best’. Sudah tentu ahli-ahli lain turut membantu menjadi linesmen dan penonton. Terima kasih cikgu ucapkan.

Hal ehwal web rasmi kita ini pula, cikgu mempunyai pembantu ‘pelaporan dan kemaskini blog’ seperti Jason, Fariq dan Paul. Mereka ini juga main dalam liga tetapi cikgu import dari Kelab Komputer yang juga kendalian cikgu. You’re all the man! Cikgu menunggu idea VIDEO PUBLICITY dan 10 minutes Movie/video.

Akhir sekali, cikgu ucapkan ribuan terima kasih kepada semua pengurus pasukan dan pemain-pemain bola sepak di atas kerjasama anda sehingga ke hari ini dan diharapkan akan berterusan sehinggak ke akhir musim 2010. Cikgu tahu, Cikgu Rizuan, cikgu Suhaibul, cikgu Khairul, cikgu Wan Aziz, cikgu Suaibul dan cikgu Samsudin penuh bersemangat dan sentiasa peka kepada kebajikan ahli-ahlinya. Ada yang sanggup mendahulukan wang membeli jersi dan kelengkapan bola sepak, air minuman setiap perlawanan – walaupun sebenarnya cikgu mengharapkan pelajar-pelajar belajar berdikari dalam hal jersi, kasut bola, shinguard, air minuman dan sebagainya.

Cikgu ingin mengajak pemain bola sepak liga sekolah supaya belajar ‘MENGHORMATI DIRI ANDA SEBAGAI PEMAIN BOLA SEPAK, MENGHORMATI PASUKAN ANDA SEBAGAI PASUKAN BOLA SEPAK, MENGHORMATI PERATURAN LIGA DEMI BOLA SEPAK DAN MENJADI PELAJAR DIHORMATI DAN DISEGANI KERANA ANDA PEMAIN BOLA SEPAK YANG MEMPUNYAI JATI DIRI YANG TINGGI.

Apa-apapun, program kejohanan ini masih lagi panjang. Malah pihak kelab juga mempunyai visi supaya kejohanan liga ini dapat dijalankan setiap tahun, selagi dibenarkan oleh pentadbiran. Biarlah ia menjadi kenangan indah, bukannya kenangan yang mendukacitakan. Sama-samalah kita semua pastikan kesejahteraan anda semua dalam akademik dan juga sukan bola sepak. Biarlah misi kita semua tercapai demi kecemerlangan sekolah dan juga bangsa.

Ikhlas dari,
CIKGU RITHUWAN NASIR,
Pengurus Penganjuran
Liga Bola Sepak SMK Putatan
Piala Pengetua
MUSIM 2010

“BOLA SEPAK MEMBINA WATAK”

%d bloggers like this: