PENGETUA DAN PIALA PUSINGAN

Piala pusingan bagi kejohanan Liga Bola Sepak SMK Putatan ini telah disumbangkan secara peribadi oleh Puan Pengetua kita sendiri, Pn. Hjh. A’zah Hj. Ismail. Semasa cadangan kejohanan liga ini dibentangkan untuk kelulusan dan kebenaran dari puan pengetua, beliau dengan berbesar hati telah menyatakan niatnya untuk menaja piala kejohanan tersebut. Sudah pastilah tawaran tidak diduga ini diterima dengan gembira sekali, dan ia datang pada masa yang amat tepat.

Maka idea piala tersebut diperhalusi dan cuba direalisasikan. Keputusannya ialah ia  diangkat sebagai piala rebutan yang akan dimenangi oleh pasukan bertanding setiap tahun. Dengan kata lain, piala tajaan pengetua itu akan dijadikan sebagai Piala Pusingan Kejohanan Liga sekolah.

Piala tersebut merupakan satu kebanggaan semua ahli Kelab Bola Sepak SMK Putatan (KBSSMKP). Pemberian tajaan piala itu sendiri merupakan satu penghormatan tertinggi yang pernah kami perolehi. Sebagai guru penasihat kelab, kami menganggap ia satu pengiktirafan peribadi puan pengetua ke atas usaha kami bersama-sama anak-anak murid (ahli kelab) dalam menjayakan aktiviti kelab kami.

Sensitiviti beliau terhadap perkembangan sukan bola sepak jelas ditunjukkan semasa perbincangan dengan guru penasihat kelab. Beliau sememangnya gembira dengan prestasi pasukan bola sepak sekolah sehingga ke hari ini. Kita pernah menjadi johan Kejohanan Bola Sepak MSSD Penampang beberapa kali. Beliau juga maklum bahawa pasukan bola sepak sekolah kita memerlukan kesinambungan kejayaan yang sedang kita kecapi. Kita memerlukan pemain pelapis yang berkualiti dan beliau percaya dengan adanya liga ini ia akan dapat membantu pihak sekolah (pengurus dan jurulatih pasukan sekolah) membuat penilaian yang lebih baik dan berkesan tatkala memilih pemain baru untuk membentuk pasukan bola sepak lebih mantap mewakili sekolah kita.

Puan pengetua juga lebih cepat mengetahui manfaat yang diperoleh dari kejohanan liga yang dirancang itu. Sudah pastilah ia terbit dari kebijaksanaan dan pengalaman beliau sebagai pengetua sekolah. Walaupun bukanlah peminat fanatik mana-mana pasukan atau kelab bola sepak di Malaysia mahupun dunia akui beliau, tetapi beliau percaya, dalam konteks sekolah, pertandingan sebegini adalah satu wadah yang sesuai dalam membantu sekolah meningkatkan perkembangan positif elemen jasmani, emosi, sosial dan intelek pelajar-pelajar yang terlibat. Malah beliau secara tegas menyatakan bahawa ia mesti dilaksanakan tahun ini juga dan seberapa cepat yang boleh walaupun program kelas tambahan akan bermula di sebelah petang. Beliau berpegang kepada prinsip bahawa kecemerlangan akademik hendaklah juga seimbang dengan kecemerlangan ko-kurikulum. Walau bagaimanapun, puan pengetua memberi peringatan bahawa akademik juga mesti lebih diutamakan, dan kami diminta memastikan supaya pelajar yang terlibat tidak leka atau lalai sehingga mengabaikan tugasan sebenar mereka iaitu belajar untuk masa depan mereka.

Amanah beliau supaya pengendalian kejohanan liga ini dijalankan dengan adil, terancang dan teratur, serta pelajar tidak mengabaikan akademik akan dijalankan dengan sebaik mungkin. Sebagai guru penasihat kelab, kedua-dua kami akur bahawa ia kini menjadi tanggungjawab besar kami. Ia merupakan cabaran kami juga yang perlu kami hadapi secara berpasukan.

Manakala ahli-ahli kelab (pelajar) pula mengakui bahawa kejohanan liga ini adalah aktiviti terbesar dan terpanjang kami setakat ini dan paling menyeronokkan buat mereka. Maklumlah, tak semua ahli kelab dapat menjadi pemain bola sepak sekolah. Sekurang-kurangnya peluang beraksi di atas padang ataupun terlibat dalam pengurusan kejohanan liga sekolah ini adalah juga satu kejayaan peribadi buat mereka. Selain dari itu, pelajar-pelajar yang bukan ahli kelab bola sepak juga dapat beraksi di atas padang dengan menyertai mana-mana enam pasukan yang ditubuhkan khas.

Di dalam pejabat pengetua, satu majlis ringkas diatur iaitu penyerahan secara rasmi Piala Pusingan tajaan puan pengetua kepada guru penasihat Kelab Bola Sepak SMK Putatan, En. Yahya Abas dan En. Rithuwan Nasir. Minggu berikutnya majlis ringkas memperkenalkan piala pusingan tersebut kepada khalayak ramai, guru-guru dan pelajar-pelajar, dalam perhimpunan mingguan.

Semoga Allah memurahkan rezeki puan pengetua, sentiasa melindungi beliau dari bala bencana, dan memberi beliau semangat dan kekuatan serta kegigihan dalam mengurus dan mentadbir SMK Putatan kita ini. Juga kita sama-samalah berdoa semoga Allah turut memberkati dan merahmati kita semua, guru dan pelajar, yang terlibat dalam kejohanan Liga Bola Sepak SMK Putatan Piala Pengetua khususnya, dan semua guru dan pelajar lain amnya.

Semoga semua pemain bola sepak liga sekolah akan memperoleh tubuh badan yang sihat, minda yang cerdas dan sahsiah yang terpuji. Sekaligus diharapkan, Allah membuka ruang kepada kita semua mencapai kualiti akademik yang lebih baik dan pencapaian kecemerlangan yang lebih mudah. AMIN.

This slideshow requires JavaScript.

%d bloggers like this: