Archive

Posts Tagged ‘wolves’

WOLVES MENCABAR GALAXY – BABAK DUA

May 7, 2010 3 comments

3 – 3

Perlawanan antara Wolves dengan Galaxy disambung hari ini (Jumaat) setelah ditunda semalam akibat hujan lebat dan padang digenangi air. Separuh masa pertama semalam perlawanan berlangsung hanya bagi tempoh 23 minit. Pihak penganjur memutuskan bahawa tempoh perlawanan untuk separuh masa kedua ini ialah 40 minit. Perlawanan sambungan ini juga merupakan kejadian pertama dalam Liga Bola Sepak SMK Putatan ini.

Cuaca agak baik walaupun ada tanda-tanda hujan akan turun. Perlawanan terpaksa dimulakan lewat iaitu pada pukul 2:30 petang walaupun penjadualan asal perlawanan harus bermula 2:00 petang. Ini kerana masih ada pemain yang bermain semalam yang gagal hadir ke padang sebelum pukul 2:00 petang, dan ia melibatkan kedua-dua pasukan.

Mengikut peraturan pertandingan Liga, perlawanan sambungan seperti ini menetapkan hanya pemain asal yang terdaftar dalam senarai bermain semalam boleh dibenarkan bermain, termasuklah senarai pemain simpanan perlawanan separuh masa pertama semalam. Pemain lain yang tidak disenaraikan dalam borang Pendaftaran Pemain Pasukan tidak dibenarkan sama sekali untuk bermain.

Dari awal sepak mula separuh masa kedua ini, persaingan yang sengit telah ditunjukkan oleh Wolves terhadap Galaxy. Serangan dilakukan dari kedua-dua belah, kiri dan kanan padang. Galaxy berusaha mengekang gerakan serangan Wolves dan berjaya mematahkannya.  Wolves menunjukkan kesungguhan dan keyakinan yang tinggi untuk mencapai kemenangan sulung mereka. Wolves berjaya menunjukkan taringnya apabila gol pertama mereka muncul melalui percubaan jarak jauh Shahijan diminit ke-11 perlawanan sambungan ini (minit 34+) yang berjaya mengatasi penjaga gawang Galaxy, Wismillah.

Galaxy tidak berputus asa dan berusaha keras untuk mencari gol penyamaan. Dalam tempoh 10 minit kemudian Shari Podding akhirnya berjaya menjaringkan gol penyamaan tersebut. Wolves kembali menyerang dengan garang dan akhirnya menemui gol kedua melalui sepakan Wan Hasnulnizam di minit ke-24 (minit 47+). Jaringan tersebut menyentak Galaxy untuk cuba mengejar. Usaha Galaxy berjaya apabila 1 minit kemudian M. Shahril menyumbat gol penyamaan dengan kedudukan seri 2 sama. Penjaga garisan pada awalnya telah mengangkat bendera menunjukkan kesalahan ‘offside’, tetapi pengadil membantah keputusan penjaga garisan dan memberikan gol tersebut. Keputusan tersebut jelas menggembirakan Galaxy.

Pada minit ke-39 perlawanan separuh masa kedua ini, penyerang Galaxy M.Sharil telah dilayangkan kad kuning. Tetapi insiden tersebut tidak menjejaskan fokus Galaxy. Pengawai pengadil ke-4 memberi isyarat perlawanan tamat setelah tempoh perlawanan genap 40 minit. Pengadil meneruskan perlawanan dan tak sampai 1 minit masa tambahan, M.Shahril  berjaya merampas bola dan menjaringkan gol ke-3 Galaxy untuk mendahului Wolves 3-2.Perlawanan masa tambahan diteruskan dengan Wolves menggunakan kesempatan itu untuk membuat serangan kali terakhir. Kesilapan pemain tengah melakukan kekasaran menyebabkan Wolves dihadiahkan sepakan percuma dari jarak lebih kurang 30-40 meter dari gawang Galaxy. Wan Azrai mengambil sepakan percuma itu dan melakukan percubaan terus ke gawang lawan. Wismillah gagal menepis keluar bola untuk  menyelamatkan bola tersebut. Gol penyamaan tersebut, di minit ke-42, mengagalkan misi Galaxy meraih mata penuh untuk perlawanan kali ini.

Perlawanan tamat dengan keputusan rasmi seri, Wolves 3-3 Galaxy.

WOLVES MENCABAR GALAXY – BABAK SATU

May 6, 2010 6 comments

0 – 0

Perlawanan terakhir pusingan 3 antara Wolves FC dengan Galaxy FC menyaksikan kedua-dua pasukan bermain dengan penuh semangat. Wolves sudah pasti menginginkan kemenangan sulung mereka manakala Galaxy pula mengidamkan kemenangan ketiga untuk kekal menyaingi Wonder Boys yang kekal di tangga teratas liga.

Perlawanan petang ini menghidangkan permainan amat menarik. Kedua-dua pasukan berjaya mencipta peluang dan serangan demi serangan dapat dilakukan. Namun begitu perlawanan terganggu oleh keadaan padang yang becak akibat hujan mula turun semakin lebat.

Perlawanan dapat diteruskan sehingga ke minit 23 separuh masa pertama sebelum dihentikan oleh pengadil perlawanan, En. Yahya Abas kerana keadaan padang yang tidak lagi sesuai untuk meneruskan perlawanan.

Mesyuarat ringkas dibuat melibatkan Pengurus Penganjuran, pengadil, dan kedua-dua pengurus pasukan.Diputuskan perlawanan ditunda terus petang ini dan akan disambung separuh masa kedua pada esok hari, tepat 2:00 petang. Perlawanan sambungan ini terpaksa dijalankan di waktu tersebut untuk memberi ruang kepada beberapa pemain Wolves yang mempunyai komitmen aktiviti ko-kurikulum yang lain.

Laporan akan disambung esok.

This slideshow requires JavaScript.

PEMOTONGAN MATA AKIBAT KETIDAKAKURAN TEKNIKAL

May 4, 2010 Leave a comment

Wolves FC dan Dormkids FC adalah dua pasukan pertama yang menerima akibat pemotongan mata. Penganjur menggunakan pendekatan mesra dengan hanya memotong 1 mata, iaitu pemotongan minimum bagi setiap mana-mana kesalahan teknikal.

ketidak akuran yang dimaksudkan ialah ada pemain yang gagal menggunakan atau memakai pelindungan betis sepanjang mereka berada di dalam padang ketika perlawanan berlangsung. Mengikut peraturan FIFA, semua pemain mesti memakai aksesori perlindungan seperti shinguard dalam setiap perlawanan.

Dalam LIGA KITA ini, peraturan sama turut digunakan dan malah dikuatkuasakan demi mendidik semua pemain bola sepak liga sekolah betapa peraturan itu sebenarnya wujud. Realitinya, pemain yang tidak memakai kasut bola sepak dan pelindung betis serta pakaian sesuai TIDAK DIBENARKAN sama sekali memasuki padang. Tetapi dalam hal kejohanan ini, penganjur meletakkan tanggungjawab awal kepada pihak pengurusan kelab masing-masing. Jika mana-mana pemain dimasukkan untuk bermain, pengurusan pasukan terpaksalah menerima akibat kehilangan mata berharga 1-3 mata.

Oleh itu, pihak penganjur sekali lagi menegaskan bahawa permainan bola sepak peringkat Liga Sekolah kita ini bukanlah pertandingan biasa-biasa, atau kampungan. Sebaliknya kami ingin menjadikan kejohanan ini bernilai tinggi dan menjadi wadah anda semua menerima ilmu berkaitan bola sepak, baik secara formal mahupun tidak formal.

SELAMAT BERTANDING. BOLA SEPAK MEMBINA WATAK.

PENGURUS WOLVES YAKIN

April 30, 2010 3 comments

Sehari selepas  perlawanan Wolves menentang Wonder Boys, kami telah menemuramah pengurus pasukan Wolves, En. Khairul, tentang pendapat beliau mengenai pasukan kendaliannya. 

Dia menjawab dengan penuh yakin “Orang yang selalu kalah, bila menang, kemenangan itu akan berterusan.” Dia juga menambah “Kami akan cuba dengan sedaya upaya untuk mencari kemenangan dalam perlawanan seterusnya.”

Ucapan terima kasih ditujukan kepada pengurus pasukan Wolves kerana sudi meluangkan masa bersama kami.

“WOLVES MENYERANG DENGAN GARANG !!!”

WONDER BOY BERJAYA MELAKUKANNYA SEKALI LAGI

April 28, 2010 1 comment

1 – 5

Wonder Boys telah memperoleh kemenangan kedua mereka setelah berjaya menumpaskan Wolves dengan jaringan 5-1.  Sekali lagi, perlawanan ke-2 pada minggu ke-2 Liga Piala Pengetua SMK Putatan,  berlangsung dalam keadaan cuaca hujan.  Keadaan padang telah menyebabkan tempo perlawanan menjadi lebih perlahan.

Hanya selepas beberapa minit perlawanan bermula Wonder Boys telah berjaya mendahului perlawanan dengan jaringan oleh Zaid, dari dalam sebelah kiri kotak penalti, mengatasi penjaga gawang Wolves. Wolves berjaya mencipta peluang untuk mengejar Wonder Boys melalui percubaan dari Azanuddin, tetapi berjaya dikekang oleh penjaga gawang Wonder Boys. Wolves mendapat peluang untuk menyamakan kedudukan sekali lagi melalui peluang yang dicipta oleh Fuadi namun gagal untuk menyempurnakan gol tersebut.

Gol kedua Wonder Boys muncul melalui jaringan Hafizuddin dari  sebelah kanan kotak penalti. Wolves melakukan serangan balas dan berjaya mencipta beberapa peluang, malangnya gagal disempurnakan oleh penyerang Wolves. Peluang terbaik Wolves tiba pada saat-saat terakhir separuh masa pertama melalui hantaran lintang Azanuddin kepada Aziman, tetapi sekali lagi gagal untuk menyumbat gol melepasi penjaga gol Wonder Boys. Separuh masa pertama berakhir dengan Wonder Boys dihadapan dengan jaringan 2-0.

Setelah bermulanya separuh masa ke-2, Wolves telah berjaya menjaringkan gol melalui sepakan Azanuddin dari luar sebelah kanan kotak penalti. Tetapi, pertahanan selekeh dari Wolves menyebabkan gol pertama mereka menjadi bayang-bayang kerana gol ke-3 Wonder Boys daripada Aznil Herman. Wonder Boys telah membazirkan peluang mencari gol ke-4 sebanyak dua kali berturut-turut selepas tendangan pemain Wonder Boys terkena tiang dan Zaid gagal untuk menanduk bola masuk melepasi gawang yang tidak dijaga.

Wolves mencipta peluang keemasan untuk bangkit semula tetapi sepakan Shahijan tersasar ke sebelah kiri palang gol. Zaid sekali lagi menjaringkan gol untuk pasukannya akibat kesilapan pemain pertahanan Wolves. Wolves cuba untuk mengejar melalui sepakan sudut yang diterima, tetapi gagal  membuahkan hasil . Pertahanan Wolves sekali lagi gagal untuk menghalang gol dari serangan Wonder Boys yang di sempurnakan oleh Zaid.

Zaid Hanafi, penjaring Wonder Boys yang berjaya mencipta ‘Hat-trick’, dilayangkan kad kuning oleh pengadil, En. Shamsudin Tjaga, kerana menanggalkan jersey semasa perlawanan berlangsung.

Keputusan rasmi perlawanan, Wolves 1 – 5 Wonder Boys.

PASUKAN YANG TUMPAS BERSEMANGAT BARU

April 25, 2010 6 comments

Pada petang tadi (Ahad), beberapa pemain dari pasukan Achievers, Daredevils dan Wolves telah turun menjalani latihan.

Pemain dari pasukan-pasukan yang tumpas pada minggu pertama Liga Pengetua SMK Putatan ini kelihatan bersemangat menjalani latihan.

Ketika wakil kami bertanya tentang perlawanan Wolves yang bakal menentang Wonder Boys minggu ke-2. Ketua pasukan Wolves, Mohd Azanuddin Jaliludin, memberi jawapan ” Tunggu dan lihat.”

Kami juga sempat meminta pendapat ketua pasukan Daredevil, Muhd Zulfi, tentang perlawanan kedua mereka menentang Dormkids. Dengan penuh yakin, dia menjawab, “Kami pasti akan menang!”

Ucapan terima kasih di tujukan kepada pemain yang sudi meluangkan masa bersama kami ketika dalam sesi latihan.

FAIZ “SEKARANG PUN BOLEH!”

April 23, 2010 3 comments

Selepas beberapa hari perlawanan pertama Liga Piala Pengetua SMK Putatan, kami telah bertemu ramah dengan penyerang Wolves, Muhammad Faiz Noh, ketika waktu rehat hari ini (Jumaat) di kelasnya (5 Al-Razi).

Penyerang Wolves ini mengalami kecederaan ringan pada kaki kirinya. Pihak kami bertanya akan keadaannya sekarang.Dia menyatakan bahawa kecederaan pada kaki kirinya menyukarkannya untuk berlari membawa bola.Apabila kami bertanyakan bilakah dia boleh kembali beraksi, penyerang ini dengan penuh semangat mengatakan “Sekarang pun boleh bah!”..

Kami turut meminta pendapatnya tentang perlawan Wolves menentang Wonder Boys yang akan berlangsung minggu hadapan, dia berkata ” Wonder Boys bukan dewa. Mereka juga mempunyai kelemahan dan kami akan mengambil setiap peluang yang ada. Tiada pasukan yang akan menang semua perlawanan…. Sepandai-pandai tupai main bola, kalah juga akhirnya sama cicak.”

Kami mengucapkan terima kasih atas kesudiannya meluangkan masa bersama kami.

DORMKIDS MENGUNCI WOLVES 2-0

April 21, 2010 4 comments

2 – 0 

_

Kemenangan perlawanan pertama Liga SMK Putatan telah diraihkan oleh Dormkids yang telah mengunci Wolves dengan jaringan 2-0.

Jaringan pertama Dormkids diperoleh melalui sepakan penalti yang disempurnakan oleh Azman Sulaiman pada minit ke-33.  Jaringan kedua diperoleh pada minit ke-56 oleh Abdul Rasyid Suating.

Wolves juga mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol namun gagal disempurnakan oleh pemain Wolves.  Peluang keemasan Wolves untuk mengejar Dormkids terlepas apabila percubaan Muhammad Faiz Noh tersasar ke sebelah kanan palang gol.

Perlawanan pertama ini juga menyaksikan dua kad kuning dilayangkan oleh pengadil, En. Christopher Gobilin, kepada pemain Dormkids. Kad kuning ketiga turut dilayangkan kepada pengurus pasukan Dormkids, En. Shamsudin Tjaga, kerana memasuki padang ketika perlawanan sedang berlangsung.